Digital Special Collection Portal

Pembuatan Wau Bulan


Citation

Mohd Khairul Azman, Che Ibrahim (2023) Pembuatan Wau Bulan. [Image]

Abstract

PEMBUATAN WAU BULAN

Bahan-bahan yang diperlukan untuk membuat wau adalah seperti buluh, kulit rotan, gam daripada pokok kayu dan lain-lain keperluan yang bersesuaian untuk menghasilkan sebuah wau. Buluh duri amat sesuai dijadikan sebagai rangka wau manakala buluh betong pula dijadikan tulang belakang. Parang digunakan untuk menebang dan membelah buluh. Pisau dan piau raut digunakan tujuan meraut.Nylon digunakan untuk mengikat rangka wau. Tangsi pula diguna untuk menerbangkan wau. Gam atau kanji digunakan untuk menampal corak dan kertas warna pada badan wau. Pelbagai kertas warna boleh digunakan mengikut citarasa pembuat wau. Sehubungan dengan itu, untuk membuat wau memerlukan kepakaran dan kemahiran bagi memperoleh sebuah wau yang bermutu seperti kepakaran dalam pemilihan bahan, kemahiran kraftangan serta pengetahuan di dalam bidang aerodinamik. Bahan seperti buluh terutamanya perlu dipilih dengan lebih teliti kerana terdapat beberapa petua serta pantang larang yang terlibat semasa ingin menebang dan menyimpan buluh tersebut.

MERAUT BULUH

Buluh perlu diraut untuk membuang bahagian-bahagian yang tidak diperlukan seperti ruas dan kulit. Selain itu tujuannya adalah untuk memberi keseimbangan pada bentuk dan berat bahagian sayap wau. Pisau khas digunakan untuk meraut dan mestilah benar-benar tajam bagi memastikan kerja-kerja tersebut dapat dijalankan dengan mudah dan mengelakkan daripada kesilapan. Buluh yang terbaik digunakan untuk membuat sayap wau ialah buluh duri kerana ia tidak mudah patah dan keras. Buluh betong pula sesuai dijadikan tulang belakang. Antara bahagian buluh yang perlu diraut adalah seperti :-
1. Bahagian tulang belakang diraut sehingga 1.0 sentimeter dengan kadar lembut dan sederhana keras
2. Bahagian bilah sayap di kedua-dua bahagian diraut sehingga 1.5 sentimeter dan semakin halus di hujung bilah tersebut iaitu sebesar lidi kelapa.
3. Bahagian ekor yang mempunyai dua bahagian juga perlu diraut sehingga 0.5 sentimeter.
4. Raut bilah-bilah buluh untuk bahagian pinggang dan bulatan berbentuk bulan. Rautan di bahagian tersebut adalah lebih nipis dan bersaiz kecil 0.5 sentimeter untuk memudahkan ia dibentuk. Seterusnya semua bilah yang telah diaraut tadi akan digosok pula dengan kertas pasir.

MEMBUAT BINGKAI

Bingkai wau terdiri daripada beberapa bahagian utama iaitu tulang belakang, tulang rentas sayap, rangka sayap dan rangka ekor. Buluh yang sudah diraut akan dipotong mengikut ukuran wau yang dikehendaki iaitu dua keping buluh untuk sayap, satu keping untuk tulang belakang dan dua keping lagi untuk rangka ekor. Kepingan buluh yang hendak dibuat sayap perlulah diseimbangkan dengan menandakan di tengah-tengah kepingan buluh. Rangka bingkai wau kemudian akan diikat:
1. Tulang belakang wau diukur kepada 3 bahagian dan kemudiannya ditanda 3 bahagian tersebut.
2. Bahagian sayap wau akan diikat dengan tali terlebih dahulu.
3. Sayap yang sudah diikat akan diikat pula pada tulang belakang.
4. Ikat di bahagian atas dan bawah ekor pada tulang belakang. Pastikan bahagian tersebut seimbang di kedua-kedua belah.
5. Cantumkan hujung bahagian ekor kemudian tautkan pada hujung bahagian sayap.
6. Untuk bahagian pinggang terutamanya jenis wau bulan, kepingan buluh ditaut membentuk separa bulatan pada bahagian sayap dan ekor wau. Seterunya kepingan buluh yang diraut lebih nipis dibentuk menjadi bulatan untuk diikat di tengah pinggang wau. Saiznya ditentukan dengan mengikut nisbah iaitu bersamaan dengan keluasan kepala wau.
7. Langkah terakhir ialah membuat kepala wau iaitu dengan mengikat separuh daripada kepala wau dengan sayap dengan jarak 2 inci dari tulang belakang.

PROSES MEMASANG TANAH WAU

Setelah bingkai wau siap, satu lapisan asas yang dipanggil 'tanah' akan dipasang pada wau. Tujuannya supaya wau tersebut tahan lasak kerana sifat utama kertas tersebut lebih kenyal dan tidak ditembusi angin. Pemasangan melibatkan beberapa langkah:
1. Ukur kertas dengan saiz bingkai.
2. Kemudian kertas ditanda dengan pensil dan perlu dilebihkan dua sentimeter dari rangka bingkai.
3 Potong kertas wau tersebut dan lebihan tadi dipotong dalam bentuk 'V'.
4. Lekatkan kertas pada bingkai dengan menggunakan gam kanji.

MENYOBEK WAU

Wau perlu disobek untuk kelihatan lebih cantik. Warna wau juga memainkan peranan supaya ia kelihatan cantik. Jambul, belalai dan busur merupakan pelengkap kepada sesebuah wau.

MENGUKUR DAN MELUKIS CORAK

Ukiran reka corak pada badan wau adalah antara ciri-ciri utama yang menjadikan wau tersebut unik dan istimewa. Antara langkah-langkah yang terlibat:
1. Lipat empat kertas warna untuk bahagian sayap, dan lipat dua untuk bahagian ekor.
2. Mulakan melukis dari bahagian dada sehingga ke sayap dengan mengosongkan satu ruang kosong untuk ruang tapak kijang, bagi bahagian ekor pula,corak yang hendak dilukis mestilah sama dengan corak di bahagian sayap.
3. Corak perlu dipotong menggunakan pisau tajam khas dan corak ini menjadi corak asas bagi wau.
4. Corak akan ditampal pada kertas warna lain, biasanya warna emas dengan menyapu gam di belakang kertas corak. Gam perlu dicampur dengan air terlebih dahulu untuk elakkan daripada berkedut. Kertas bercorak akan diletakkan di atas kain lembap. Kertas berwarna diletakkan perlahan-lahan ke atas kertas corak dan kemudiannya diratakan dengan menggunakan seterika panas di atas kain lembap tadi.
5. Potong semula corak yang hendak disobek dan tampal sekali lagi dengan kertas berlainan warna sehingga siap sepenuhnya.
6. Tampal ukiran sobek tadi pada tanah wau dengan hanya menyapu gam kanji pada bahagian tepinya sahaja.
7. Bahagian yang tidak lekat dikemaskan dengan menyapu gam menggunakan berus lukisan. Bagi wau hiasan akan ditampal kertas hiasan di belakang wau untuk menutup kecacatan iaitu kerangka buluh dan tulang rentas sayap wau.
8. Berlainan pula dengan wau yang hendak diterbangkan mestilah menggunakan kertas yang tidak menyerap air. Selain itu, belakang wau tersebut tidak ditampal kertas hiasan dan ukiran sobek hanya mempunyai tiga atau empat lapis sahaja berbanding dengan wau hiasan yang mempunyai sehingga lapan warna.

MEMASANG JAMBUL ATAU RAMBU

Jambul atau rambu dipasang dengan dililitkan pada rangka ekor atau sayap wau. Jambu biasanya diperbuat daripada kertas 'crepe' yang dipotong dengan gunting secara memanjang untuk membentuk rambu.

MEMASANG BELALAI

Belalai menggunakan bahan yang sama dengan jambul tetapi dipasang pada kepala wau.

MEMASANG BUSUR

Fungsi utama busur ialah untuk mengeluarkan bunyi semasa wau diterbangkan. Terdiri daripada empat komponen iaitu 'bok', daun ibus, inas dan buluh penyepit.
1. Potong kepingan buluh dengan ukuran separuh daripada panjang sayap wau.
2. Raut kepingan tersebut, belah daun ibus yang sudah dikeringkan ikut kesesuaian bunyi yang dikehendaki.
3. Untuk membuat inas, buluh cina sesuai digunakan dan dipotong sepanjang dua sentimeter dan ditebuk di bahagian tengahnya sebesar saiz busur.
4. Setelah ketiga-tiga komponen dicantumkan, lekatkan busur tersebut pada kepala wau dengan menggunakan buluh penyepit dan kemudiannya diikat menggunakan benang nilon.

Download File / URL

Full text not available from this repository.

Additional Metadata

Item Type: Image
Date: 2023
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/11234
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2