Kajian terdahulu mengenai usahawan, kebiasaannya hanya berkisar tentang sikap usahawan serta corak pentadbiran sesuatu perniagaan yang menentukan kejayaan atau kegagalan perniagaan tersebut. Namun, kajian berkaitan minda atau corak pemikiran seseorang usahawan yang menjadi pendorong kepada kejayaan perniagaan kurang diberikan penekanan dan dikaji secara ilmiah. Kajian kualitatif ini telah merungkai persoalan secara menyeluruh tentang apakah corak pemikiran yang dimiliki oleh seseorang usahawan Melayu yang berjaya dan bagaimanakah ciri-ciri pemikiran dan personaliti yang dimiliki oleh setiap informan kajian yang menjurus kepada kejayaan mereka. Kajian dijalankan dengan objektif untuk meneroka corak pemikiran serta ciri-ciri pemikiran yang mempengaruhi kejayaan usahawan Melayu dengan mengguna pakai Teori Minda (ToM), Teori Sebab dan Kesan serta Teori Kecerdasan Pelbagai. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pengumpulan data melalui pendekatan pemerhatian dan temu bual secara bersemuka yang melibatkan seramai lapan orang informan yang terdiri daripada enam informan lelaki dan dua informan wanita. Dapatan kajian ini dianalisis menggunakan perisian NVIVO11 menunjukkan bahawa, jujur, amanah, takwa, sabar, tabah dan sentiasa berfikiran positif serta tawakal kepada ketentuan Allah menjadi pegangan dan corak pemikiran utama setiap informan terhadap kejayaan mereka. Dapatan daripada kajian ini diyakini dapat memberikan nilai tambah ilmu pengetahuan dan kajian masa hadapan untuk meneroka corak pemikiran usahawan Melayu, Cina dan India di Malaysia terhadap kejayaan mereka.