Pada kira-kira jam 11.45 pm, 7 Disember 1941, askar-askar Pertahanan Pantai British yang ditempatkan di kawasan Badang dan Sabak, di persimpangan Kuala Pak Amat lebih kurang satu setengah batu ke timur Laut Lapangan Terbang Kota Baharu di Pengkalan Chepa telah mengesan beberapa buah kapal “musuh” sedang berlabuh di lingkungan 7 batu nautika dari pantai Kuala Pak Amat. Tidak lama kemudian, meriam-meriam pertahanan pantai melepaskan tembakan keatas kapal-kapal perang “musuh” tersebut membedil kubu-kubu pertahanan pantai pihak British di kawasan Pak Amat. Pada ketika itu, tiada siapa pun menyedari atau menyangka bahawa peristiwa tembakan atau bedilan meriam di pantai Kelantan itu menandakan bermulanya peperangan di antara Jepun dan British di Kelantan dan di Malaya. Sebenarnya tembakan atau bedilan meriam di Pantai Kelantan pada tengah malam 7/8 Disember 1941 itu merupakan “tembakan pertama” peperangan di Malaya dan juga pemulaan Perang Dunia Kedua di Timur Jauh dan Pasifik.
Semasa pendaratan pertama ini, tentera Jepun telah mendaratkan 2 buah kompeni iaitu Kompeni Ke-2 dan Kompeni Ke-9, berdekatan dengan sebuah pulau kecil di muara Kuala Pak Amat. Pendaratan ini mendapat tentangan hebat dari tentera Inggeris yang bertahan di ‘Pill Boxes’ di kedua-dua belah tebing muara tersebut. Kompeni Ke-2 telah mengalami kecederaan yang teruk sehinggakan kekuatan tempur kompeni Ke-2 berada paras 20%.