Kota Bharu: Berkecimpung lebih separuh abad dalam seni wayang kulit melayakkan Yusoff Mamat dinobatkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Budaya Negeri.
Sumbangan tokoh yang berusia 67 tahun itu bukan saja meliputi dalam negara bahkan turut membuat persembahan serta menjadi tenaga pengajar di luar negara antaranya Itali, Jepun, Indonesia dan Afrika Selatan.
Lebih dikenali Pok Soh Wayang Kulit, pembabitannya dalam seni ini bermula seawal usia sembilan tahun dengan menyertai kumpulan wayang kulit dari Kampung Laut sebagai pemukul canang.
Pok Soh berkata dengan mendapat upah sebanyak 30 sen seminggu,kadar bayaran itu sudah dirasakan amat lumayan dan tidak sabar untuk mengadakan persembahan demi persembahan.
"Pada usia 10 tahun saya ditawarkan oleh seorang pemain wayang kulit yang ingin mengajar saya membuat dan bermain wayang kulit dengan alasan khuatir jika seni ini tiada pelapis.
"Tanpa berfikir panjang saya terus menerima tawarannya," katanya pada majlis penganugerahan yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) pada majlis Anugerah Seni Budaya Negeri Kelantan 2018 di Kota Bharu.
Pada majlis sama seramai 16 penerima mewakili lima kategori tampil menerima anugerah iaitu Anugerah Khas Penghargaan Budaya, Penggiat Budaya, Kepimpinan Budaya, Persatuan Aktif dan Tokoh Budaya Negeri.
Rumah jadi bangsal
Pok Soh berkata, beliau tidak mengambil tempoh yang panjang untuk memahami dan mahir dalam membuat juga bermain wayang kulit sudah ada asas wayang kulit selain ditambah minat yang mendalam.
"seni wayang kulit mampu saya dalami dalam masa setahun samada pembuatan watak atau persembahan," katanya.
Pok Soh menjadikan rumahnya di Kampung Laut sebagai bangsal serta panggung untuk seni pembuatan wayang kulit dan ia sentiasa dikunjungi pelancong.