Pengurusan secara umumnya merupakan usaha ahli organisasi meliputi proses perancangan, pengorganisasian, kepimpinan dan kawalan menggunakan semua sumber organisasi untuk mencapai matlamat organisasi. Kelemahan dalam sesebuah organisasi perniagaan akan memberi kesan yang negatif terhadap perkembangan prestasi organisasi perniagaan terbabit. Kajian ini menguji hubungan antara pembolehubah faktor perancangan, faktor pengorganisasian, faktor kepimpinan dan faktor kawalan dengan prestasi organisasi perniagaan milik usahawan wanita Terengganu. Sampel telah dikenal pasti melalui pihak berkuasa pembangunan luar bandar seperti MARA, TEKUN dan YPU. Dengan menggunakan prosedur persampelan kluster, data telah dikumpulkan daripada 200 responden menggunakan soal selidik yang ditadbir sendiri. Data dianalisis dengan menggunakan perisian SPSS untuk mendapatkan statistik deskripitif mengenai profil demografi responden, dan menggunakan korelasi Pearson Product Moment dan regresi berganda untuk mendapatkan nilai dan arah hubungan antara pembolehubah. Nilai kebolehpercayaan semua pembolehubah antara 0.77-0.90. Hasil kajian mendapati bagi hipotesis 1 (r = 0.369, p < 0.01), hipotesis 2 (r = 0.356, p < 0.01), hipotesis 3 (r = 0.454, p < 0.01) dan hipotesis 4 (r = 0.601, p< 0.01) menunjukkan terdapat hubungan signifikan yang positif antara pembolehubah lantas menyokong semua hipotesis. Pemilik organisasi hendaklah memberi tumpuan kepada parameter pengurusan dalam usaha untuk meningkatkan prestasi organisasi dan untuk mengupayakan kelebihan bersaing yang menjadi asas kelestarian sesebuah organisasi.