Industri Sarang Burung Walit (SBW) mempunyai keunikan tersendiri. Ia hanya wujud di kawasan Asia Tenggara kerana spesies burung walit hidup di ekosistem tropika lembap. Industri ini telah dimonopoli oleh kaum Cina dan ia berkait rapat dengan budaya mereka di Asia Tenggara, termasuk Malaysia. Di Malaysia, industri SBW menyumbang sumber pendapatan besar kepada pengusaha dan turut menjana ekonomi negara. Sejak kebelakangan ini orang Melayu sudah mula terlibat dalam industri ini dengan bilangannya yang masih rendah. Walau bagaimanapun, kebanyakan usahawan SBW Melayu mempunyai kurang pengalaman dan kemahiran berkaitan perusahaan ini. Justeru, terdapat satu kepentingan untuk membuat kajian secara mendalam ke atas usahawan SBW Melayu berjaya untuk dijadikan panduan untuk meningkatkan kelangsungan industri ini di kalangan orang Melayu. Kajian ini bertujuan meneliti peranan efikasi kendiri (self-efficacy) ke atas usahawan SBW Melayu lestari. Kajian ini berbentuk kualitatif dan menggunakan pendekatan fenomenologi ke atas tujuh orang usahawan SBW Melayu berjaya dalam industri ini di negeri Kelantan. Ia melibatkan proses percambahan dan eksplorasi terhadap persoalan „kenapa‟ dan „bagaimana‟ usahawan Melayu membangunkan perusahaan ini. Dalam kajian ini, soalan-soalan yang telah dikemukakan kepada usahawan adalah berbentuk perkongsian pengalaman keusahawanan dan maklumat industri secara induktif dan terperinci. Kaedah ini membolehkan penyelidik melakukan penelitian terhadap teori efikasi kendiri dan seterusnya menilai pengaruh efikasi kendiri dalam kalangan pengusaha SBW Melayu lestari. Secara keseluruhannya, hasil kajian mendapati efikasi kendiri memainkan peranan penting dalam kejayaan dan kelestarian sesebuah perusahaan SBW. Khususnya, penguasaan ilmu pengetahuan, kematangan dalam membuat penilaian dan keputusan, kemahiran pemilihan lokasi SBW, ilmu pengurusan rumah burung walit, pengetahuan tentang gred sarang burung, dan jaringan sosial adalah pelengkap kepada efikasi kendiri. Penemuan kajian ini telah menghasilkan Model Kelestarian usahawan SBW Melayu yang menyenaraikan peringkat-peringkat penting yang perlu dilalui oleh usahawan dan bakal usahawan SBW untuk mencapai kelestarian perusahaan mereka. Kefahaman tentang proses mencapai kelestarian perusahaan SBW dapat membantu usahawan, bakal usahawan, dan pihak berkepentingan dalam merealisasikan kelestarian industri ini di Malaysia. Kajian ini diharap dapat menyumbang kepada peningkatan kefahaman tentang fenomena usahawan dan keusahawanan dalam dunia akademik kepada pihak-pihak yang berkaitan.