Naratif lisan adalah urutan kronologi penceritaan yang berasal daripada masyarakat, berkembang dalam sesuatu kelompok komuniti pada masa lampau, menjadi ciri khas oleh setiap bangsa yang memiliki budaya beraneka ragam, mencakupi kekayaan budaya dan sejarah milik bangsa secara bersama. Kajian ini dijalankan kerana pengkaji mendapati bahawa masyarakat pendukung masih menganggap naratif lisan sebagai bahan yang tidak berfaedah, penuh dengan kepincangan, rekaan semata- mata dan sekadar memaparkan hiburan kepada pembaca. Sehubungan itu, objektif kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti dan menganalisis nilai-nilai murni yang terkandung dalam naratif lisan di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan. Seterusnya, analisis terhadap nilai-nilai murni ini turut diaplikasikan dengan pendekatan moral, dakwah dan kemasyarakatan yang terdapat dalam Teori Pengkaedahan Melayu. Selain itu, kajian ini membataskan 43 naratif lisan yang diperoleh daripada informan di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan sebagai data kajian. Selain itu juga, terdapat 22 naratif lisan daripada teks verbatim yang lain turut dianalisis untuk memastikan kajian ini lebih mantap.Tambahan pula, pendekatan analisis kandungan kualitatif dipilih sebagai kerangka panduan untuk menyempurnakan kajian ini. Dalam kajian ini, penerapan Teori Pengkaedahan Melayu yang diilhamkan oleh Hashim Awang pada tahun 1989 dipilih sebagai gagasan bagi mengukuhkan lagi analisis kajian tersebut. Penelitian dan penghuraian terhadap beberapa aspek merangkumi Pengkaedahan Alamiah dan Pengkaedahan Keagamaan dilaksanakan sebagai deduksi dalam pendekatan kajian. Kajian ini juga berhasil membuktikan beberapa penemuan melalui penelitian terperinci terhadap nilai-nilai murni dalam naratif lisan di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan yang menjadi sandaran bagi menonjolkan norma-norma kebudayaan Melayu. Sebagai kesimpulannya, hasil dapatan kajian ini membuktikan bahawa naratif lisan di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan memiliki garapan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan sebagai medium pendidikan kepada masyarakat tempatan.