Kajian ini bertujuan menganalisis pemikiran Ahmad Ismail Asasi dalam bidang sosial dan politik di Kelantan di dalam majalah al-Hikmah. Selain itu, kajian ini juga menggariskan dua tujuan lain iaitu : (1) mengenal pasti sejarah hidup Ahmad Ismail (2) menganalisis perkembangan majalah al-Hikmah yang diasaskan oleh Ahmad Ismail. Pengumpulan data kajian ini dijalankan dalam dua bentuk. Pertama, data sejarah yang ditumpukan kepada 358 keluaran majalah al-Hikmah. Kedua, data kontemporari dengan menjalankan temu bual dengan waris-waris tokoh yang masih hidup, individu-individu yang sempat berkenalan dengan tokoh dan penulis serta pengkaji sejarah Kelantan. Data kajian ini dianalisis menggunakan dua kaedah. Pertama, kaedah analisis teks bertujuan mengesan pemikiran tokoh yang terdapat di dalam artikelnya di dalam al-Hikmah. Kedua, kaedah hermeneutik bertujuan mencari pengertian yang mendalam daripada teks, perkataan atau ungkapan yang digunakan. Kajian mendapati bahawa tokoh telah menggunakan al-Hikmah sebaik mungkin sebagai medium dakwahnya untuk mencapai dua matlamat utama yang diperjuangkan. Pertama, memartabatkan bangsa Melayu dalam aspek sosial. Kedua, memartabatkan bangsa Melayu dalam aspek politik. Pemikiran Ahmad Ismail dalam aspek sosial difokuskan kepada mengukuhkan ideologi perjuangan orang Melayu, meningkatkan ilmu pengetahuan dan pelajaran, mempertahankan bahasa Melayu dan tulisan jawi, meningkatkan taraf kesihatan serta menanggani seruan agama Kristian. Manakala dalam aspek politik pula, fokus utama adalah meningkatkan kesatuan dan semangat kebangsaan, mengawal kebanjiran kaum migran, membetulkan sikap golongan aristokrat Melayu dan mempersiapkan diri ke arah kemerdekaan tanah Melayu. Kajian juga mendapati tokoh telah memberi sumbangan pemikiran yang besar dan berkesan dalam membentuk minda dan budaya hidup berteraskan agama Islam dalam kerangka pemikiran yang sangat progresif di Kelantan dengan pendekatan dakwah yang sederhana dan berhikmah.