Digital Special Collection Portal

Pembangunan Modul Pembelajaran Sejarah peringkat menengah berasaskan lawatan muzium.


Citation

Nur Syazwani Abdul Talib (2020) Pembangunan Modul Pembelajaran Sejarah peringkat menengah berasaskan lawatan muzium. Doctoral thesis, Universiti Malaysia Kelantan. (Submitted)

Abstract

Mata pelajaran Sejarah telah dijadikan mata pelajaran wajib lulus pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun dalam kalangan guru pula, kaedah pengajaran dan pembelajaran secara aktif kurang dilaksanakan. Kajian ini bertujuan untuk membangunkan Modul Pembelajaran Sejarah berasaskan lawatan ke muzium dalam mata pelajaran Sejarah. Kajian ini berasaskan Kajian Reka bentuk dan Pembangunan (Design and Development Research) yang merangkumi tiga fasa iaitu analisis keperluan, reka bentuk dan pembangunan, serta penilaian. Fasa pertama melibatkan seramai 205 orang pelajar tingkatan empat dan data dianalisis menggunakan Statistical Package for Social Sciences 20.0 (SPSS 20.0). Selain itu, temu bual dengan tiga orang guru Sejarah turut dijalankan. Secara keseluruhannya, dapatan fasa ini menunjukkan responden bersetuju lawatan ke muzium dapat menarik minat pelajar serta aktiviti yang dilaksanakan di muzium dapat melibatkan pelajar secara aktif dalam pembelajaran Sejarah. Bagi fasa kedua pula, reka bentuk dan pembangunan modul melibatkan dua orang pakar dan dua orang guru Sejarah. Setiap pakar dan guru diberikan prototaip modul dan borang penilaian untuk dilengkapkan. Prototaip mengalami penambahbaikan berdasarkan cadangan dan komen yang diterima. Prototaip modul yang dihasilkan adalah berdasarkan koleksi yang ada di Muzium Perang yang diselaraskan dengan buku teks Sejarah. Prototaip modul mempunyai lima lembaran kerja berserta Lembaran Keterangan Modul dan Lembaran Soalan Kuiz selain Modul Panduan Mengajar. Seterusnya dalam proses pelaksanaan, responden adalah seramai 32 orang pelajar bagi kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan. Kumpulan eksperimen menggunakan modul dan kumpulan kawalan menggunakan kaedah konvensional. Kesemua pelajar diberikan ujian pra terlebih dahulu. Seorang guru dipilih untuk mengajar Sejarah menggunakan pendekatan konvensional dan modul. Kemudian pelajar dibawa ke muzium untuk lawatan sambil belajar seperti kebiasaan yang dilakukan tanpa modul dan secara bebas bagi kumpulan kawalan. Manakala kumpulan eksperimen pula melaksanakan tugasan yang terdapat dalam modul. Ujian pasca diberikan kepada kedua-dua kumpulan selepas sesi pengajaran dan pembelajaran (P&P) Sejarah berlangsung. Dapatan menunjukkan terdapat perbezaan yang signifikan skor min sikap pelajar terhadap Sejarah sebelum dan selepas pembelajaran antara kedua-dua kumpulan dengan nilai-p yang signifikan (p<0.05) iaitu 0.000. Selain itu, dapatan turut menunjukkan tidak terdapat perbezaan yang signifikan skor min pencapaian pelajar terhadap Sejarah selepas pembelajaran antara kumpulan kawalan dengan kumpulan eksperimen iaitu p>0.05 (sig.=0.222). Namun dari segi peningkatan markah tertinggi ujian pasca kumpulan eksperimen lebih tinggi berbanding dengan kumpulan kawalan. Manakala fasa akhir iaitu fasa penilaian melibatkan 32 orang pelajar. Data juga dianalisis menggunakan SPSS 20.0. Kesemua pelajar yang terlibat adalah pelajar tingkatan empat di jajahan Kota Bharu, Kelantan. Seterusnya, fasa penilaian mendapati skor min item isi kandungan, persekitaran dan pencapaian objektif adalah pada tahap tinggi iaitu min=3.97, min=4.70 dan min=3.91. Secara keseluruhannya, analisis dapatan mendapati modul telah memberikan kesan yang positif kepada pelajar dari segi sikap terhadap Sejarah dan peningkatan pencapaian dalam Sejarah. Selain itu, Modul Pembelajaran Sejarah juga boleh digunakan oleh guru Sejarah dalam usaha mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran Sejarah bagi menarik minat pelajar. Oleh yang demikian, kajian ini telah meningkatkan inkuiri dalam kalangan pelajar seperti saranan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui penggunaan Modul Pembelajaran Sejarah berasaskan lawatan muzium.

Download File / URL

[thumbnail of Nur Syazwani binti Abdul Talib.pdf] Text
Nur Syazwani binti Abdul Talib.pdf - Submitted Version
Restricted to Registered users only

Download (11MB)

Additional Metadata

Item Type: UMK Etheses
Collection Type: Thesis
Date: 2020
Number of Pages: 409
Call Number: LB1027 .N87 2020 tes
Supervisor: Prof. Madya Dr. Kamarulzaman bin Abdul Ghani
Programme: Doctor of Philosophy
Institution: Universiti Malaysia Kelantan
Subjects: L Education > LB Theory and practice of education
Faculty/Centre/Office: Faculty of Language Studies and Human Development
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/10111
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2