Keris merupakan lambang kepahlawanan dan identiti Melayu serta merupakan salah satu warisan Masyarakat Melayu yang tak ternilai harganya. Di Negeri Kelantan, masih terdapat pembuat keris yang telah mewarisi ilmu ini sejak berkurun lamanya. Seperti kebanyakan warisan di serata dunia, keris juga melalui proses pembaharuan selari dengan perkembangan teknologi masa kini. Ini telah mempengaruhi peralatan serta teknik pembuatan keris itu sendiri dan memberi kesan terhadap hasil akhir. Musang, alat untuk meniup atau menghembus angin kini diganti dengan blower dan mesin pengetuk pula digunakan untuk menggantikan pembantu tukang tempa untuk menipiskan besi. Namun, kaedah lama masih digunakan dan digabungkan dengan yang moden seperti di dalam proses membuat Keris Tok Chu dan Pandai Saras. Kajian ini mengkaji sejarah perkembangan pembuatan keris di Kelantan selari dengan perkembangan teknologi. Kajian lapangan telah dijalankan di beberapa kawasan di Kelantan melibatkan tukang-tukang keris yang berpengalaman luas serta pengumpul keris di daerah Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat dengan menggunakan kaedah pemerhatian turut serta dan temubual separa berstruktur. Hasil kajian mendapati bahawa terdapat perbezaan rekabentuk Keris Tok Chu lama dengan Keris Tok Chu baru dan keris Pandai Saras lama dan baru. Hasil pengaruh teknologi, permukaan Keris Tok Chu baru dan Pandai Saras baru dihasilkan dengan lebih licin, tulang tengah yang lebih menonjol, lurah keris yang lebih dalam dan bunga keris yang lebih sempurna serta menonjol. Namun dalam pembuatan keris baru, pembuat keris masih mengekalkan ciri-ciri asal sesebilah keris untuk mengekalkan identiti keris Melayu agar tidak berubah, terutamanya dari aspek rekabentuk asas. Perubahan rekabentuk Keris Pandai Saras dan Keris Tok Chu mempengaruhi perubahan sosial dikalangan masyarakat pada hari ini. Ini disebabkan oleh, fungsi keris sudah berubah daripada senjata untuk mempertahankan diri kepada koleksi senjata warisan Masyarakat Melayu.