Bekas naib canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Emeritus Datuk Ir Dr Zainal Mohamed dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah (LPU) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berkuatkuasa 1 Julai lalu.
Menurut kenyataan UniMAP hari ini, Zainal, 61, menggantikan Tan Sri Dr Zainul Ariff Hussain yang sudah tamat tempoh perkhidmatan pada 30 Jun lalu selepas menerajui LPU UniMAP selama empat tahun. Zainal, anak kelahiran Kelantan, adalah bekas naib canselor pertama UMK dari 2006 hingga 2011 dan mempunyai pengalaman luas dalam bidang kejuruteraan dan pengurusan pendidikan tinggi.
Selain UMK, beliau pernah berkhidmat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Tun Hussein Onn (UHTM) yang dahulunya dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi Tun Hussein Onn (KUiTTHO).