Tradisi lisan mempunyai hubungan yang rapat dengan corak kehidupan, pemikiran dan kepercayaan masyarakat yang melahirkannya. Di antara tradisi lisan itu termasuk yang berbentuk ‘verbal’ meliputi persembahan rakyat seperti dikir barat, boria, wayang kulit, mak yong, selampit atau awang batil dan sebagainya, yang juga dikenali sebagai budaya popular. Pelancongan dalam konteks ini merupakan hal yang berhubung dengan orang yang melancong dan perkhidmatan yang diberikan kepada mereka. Dalam makalah ini penulis cuba memperlihatkan bentuk-bentuk tradisi lisan di atas sebagai bahan tarikan pelancong, sesuai dengan hasil kajian yang dibuat oleh A. Gafar Ahad (sekarang Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Warisan Kebangsaan) dan Nurwati Badarulzaman dari Universiti Sains Malaysia bahawa pelancongan warisan setanding dengan produk pelancongan lain di Malaysia, miskipun warisan yang mereka maksudkan lebih kepada bangunan lama dan tempat bersejarah.