Nilai moral bersumber pada unsur kehendak manusia. Nilai moral juga adalah suatu bahagian dari nilai, iaitu nilai yang menangani kelakuan baik atau buruk dari manusia. Moral selalu berhubungan dengan nilai, tetapi tidak semua nilai adalah nilai moral. Moral berhubungan dengan kelakuan atau tindakan manusia. Nilai moral inilah yang lebih terkait dengan tingkah laku kehidupan kita sehari-hari. Nilai moral adalah nilai baik dan nilai buruk. Oleh itu, cerpen "Saat Terakhir" dan cerpen "Dari Tanah Ke Tanah" sarat mengandungi dengan nilai moral dan permasalahan yang boleh dijadikan pengajaran, nasihat dan sebagainya kepada masyarakat. Kajian ini dilakukan untuk mengemukakan permasalahan yang terkandung dalam kehidupan masyarakat dalam cerpen "Saat Terakhir" dan cerpen "Dari Tanah Ke Tanah"dan menganalisis unsur-unsur atau nilai moral dalam teks untuk panduan masyarakat. Nilai moral seperti kasih sayang, baik hati, hormat menghormati, keberanian, kerjasama, kesyukuran, kejujuran dan berdikari sangat penting dijadikan sebagai satu medium perantaraaan untuk mendidik moral masyarakat ke arah kebaikan. Sesungguhnhya setiap cerpen yang dikaji atau dibaca oleh masyarakat berupaya meresapkan idea dalam pemikirannya dan akan kekal menjadi ingatan sampai bila-bila. Jika baik olahan nilai moral dalam setiap cerpen tersebut ia mampu membentuk nilai moral yang tinggi kepada masyarakat. Kajian yang dijalankan ini menggunakan Teori Pengkaedahan Melayu dari segi pendekatan moral digunakan untuk diaplikasikan dalam memantapkan lagi kajian ini. Hasil kajian mendapati cerpen "Saat Terakhir" dan cerpen "Dari Tanah Ke Tanah" mempunyai hampir sepenuhnya nilai moral yang mempunyai fungsi penting kepada individu dan masyarakat.