Kesusasteraan merujuk kepada hasil seni yang disampaikan melalui bahasa. Dalam pembelajaran, komponen sastera atau KOMSAS diperkenalkan sebagai medium untuk memperkukuhkan lambang dan identiti Bahasa Melayu itu sendiri. Karya sastera membicarakan apa yang berlaku dan apa yang terlihat dalam sesuatu masyarakat sambil mengemukakan sikap dan pandangan penulisnya. Hasil daripada penelitian teliti, terdapat kelompongan dalam kajian mengenai genre Drama yang semakin kurang diminati dalam kalangan masyarakat khususnya murid-murid. Oleh itu, satu kajian
impak, pemahaman dan penerimaan murid SMK Malim Nawar, Perak menerusi teks kumpulan Drama KOMSAS 2018 menggunakan teori teksdealisme telah dijalankan. Tiga objektif kajian dapat menunjukkan pemahaman dan penerimaan murid menerusi lima teks Drama KOMSAS terbabit melalui asas pertama teori teksdealisme iaitu prinsip kehadiran. Kedua, proses pengekalan dan perubahan tema membuktikan teks Drama KOMSAS sesuai, relevan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran. Ketiga, apakah kesannya terhadap pembinaan teks tersebut kepada murid. Kaedah kualitatif digunakan iaitu mengkaji teks-teks KOMSAS yang terlibat dengan mengaplikasikan teori Teksdealisme melalui prinsip kehadiran, pelanggaran, pengukuhan dan keperibadian. Pengkaji menggunakan kaedah keperpustakaan untuk mendapatkan maklumat dan data. Kajian dilakukan kepada murid Tingkatan Satu hingga Lima di SMK Malim Nawar, Perak. Bilangan responden adalah sebanyak 110 orang murid. Sebanyak lima buah teks Drama KOMSAS digunakan sebagai bahan sampel kajian. Cadangan kajian yang diberikan juga dapat membantu pihak yang terlibat dalam penyediaan teks Drama bagi mempertingkatkan lagi mutu teks Drama pada masa akan
datang dengan lebih terperinci dalam membuat pemilihan teks Drama yang sesuai dengan minat dan aspirasi murid yang terdiri daripada pelbagai kaum di Malaysia.