Kajian ini merupakan sebuah kajian cerita rakyat yang menjalankan penelitian terperinci terhadap unsur nilai yang terkandung di dalam cerita-cerita rakyat Melayu. Hal ini demikian kerana cerita rakyat adalah salah satu media pendidikan yang boleh dimanfaatkan sebagai acuan dalam pembentukan kebudayaan masyarakat yang progresif. Disampaikan melalui lisan dengan segala perisian yang padat dan sarat dengan kepelbagaian unsur nilai yang boleh digarap menerusi cerita rakyat Melayu terpilih. Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengisi kelompongan kajian-kajian lepas yang lebih berfokuskan kepada aspek nilai dan moral dalam cerita-cerita rakyat tanpa
mengetengahkan teks Seuntaian Naratif Lisan di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk mengenalpasti dan menganalisis unsur nilai berdasarkan teks Seuntaian Naratif Lisan Di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan terdapat kebudayaan masyarakat Melayu. Namun begitu, pengkaji telah membataskan kepada 20 cerita rakyat Melayu terpilih. Seterusnya, kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif secara kepustakaan dan analisis teks. Teori pengkaedahan Melayu turut diaplikasikan bagi tujuan pengukuhan. Bahkan ia turut menerapkan pendekatan moral, pendekatan kemasyarakatan dan pendekatan dakwah. Hasil analisis membuktikan bahawa cerita rakyat Melayu tidak dinafikan sarat dengan pengajaran bahkan padat dengan nilai-nilai yang mempamerkan kebudayaan masyarakat Melayu yang telah menjadi norma kehidupan sejak sekian lama, dalam pada itu menjadi wadah dalam pembentukan insaniah dan sahsiah yang bermanfaat.