Kajian ini bertujuan mengenal pasti dan menganalisis keunggulan kepengarangan Ramlee Awang Murshid menerusi novel Tombiruo : Penunggu Rimba dan Ungu Karmila. Kajian ini menggunakan reka bentuk kajian kualitatif dengan kaedah kepustakaan yang dianalisis secara deskriptif. Asas dan dasar kajian ini dianalisis menerusi empat prinsip yang terdapat dalam Teori Teksdealisme iaitu prinsip kehadiran, prinsip pelanggaran, prinsip pengukuhan dan prinsip individualisme. Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa, keunggulan Ramlee Awang Murshid dalam prinsip kehadiran Teori teksdealisme telah berjaya menghadirkan pengalaman melalui kehidupan masyarakat dan pengalaman melalui pengembaraan. Begitu juga prinsip pelanggaran yang membolehkan Ramlee Awang Murshid berani mengemukakan pelanggaran tema dan persoalan serta pelanggaran dari segi watak dan perwatakan yang memberi pembaharuan idea dalam kepengarangannya. Prinsip pengukuhan pula, membuktikan kesungguhan Ramlee Awang Murshid dalam meningkatkan kualiti kedua-dua novel melalui pengukuhan nilai murni yang disampaikan melalui setiap peristiwa yang terkandung dalam karyanya. Di samping itu, bagi prinsip individualisme pula telah mengangkat cita-cita dan personaliti Ramlee Awang Murshid melalui stailistik dan persembahan novel yang dipengaruhi oleh ideologi realisme. Keunggulan kepengarangan Ramlee Awang Murshid dibuktikan hadir melalui pengalaman yang mencetuskan idea dengan pembaharuan serta dikukuhkan dengan nilai-nilai murni selain turut mempertingkatkan personaliti kepengarangan. Justeru, kajian ini memberi implikasi kepada penyelidik sebagai asas memahami proses kepengarangan dan membantu pembaca memilih karya yang unggul serta mendorong pengarang kini mempertingkatkan karya dengan menampilkan elemen penting dalam proses kepengarangan.