Persaingan sengit dalam dunia perniagaan pada masa kini meningkatkan tekanan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk merangka dan mencipta strategi baharu. Pembangunan inovasi berteraskan proses inovasi dianggap penting kepada PKS untuk bersaing secara mampan dan produktif dalam pasaran. Walaupun secara relatif proses inovasi dianggap penting sebagai nilai tambah ekonomi, namun fokus utama penyelidikan dalam subjek ini masih lagi belum mendapat perhatian yang sewajarnya daripada segi kajian konseptual mahupun empirikal. Oleh itu, objektif utama kajian ini dilaksanakan untuk meneroka secara lebih mendalam mengenai pelaksanaan proses inovasi dengan menggabungkan Teori Difusi Inovasi (TDI) dan Orientasi Keusahawanan (EO) dalam konteks PKS sektor pembuatan di Malaysia. Kajian ini menggunakan pendekatan reka bentuk kajian kualitatif berlatarkan kajian kes dengan menggunakan kaedah temu bual separa berstruktur yang melibatkan seramai lapan orang usahawan PKS sektor pembuatan di Malaysia. Seterusnya, data-data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan kaedah Tematik Analisis (TA) untuk membentuk kod, kategori dan tema dalam usaha menjawab setiap objektif kajian. Hasil dapatan kajian ini mendapati bahawa usahawan PKS cenderung mengutamakan pembaharuan teknologi proses secara inkremental yang melibatkan secara dalaman organisasi sahaja dan sumber kewangan memperoleh teknologi proses baharu diperoleh melalui dua kaedah merangkumi pembiayaan peribadi dan bantuan kewangan daripada kerajaan. Pada masa yang sama, usahawan PKS juga melihat kepentingan menerima teknologi proses kerana mereka memperoleh kelebihan dan manfaat dari sudut seperti kapasiti pengeluaran produk, tenaga kerja, kualiti produk, dan kecekapan operasi. Hasil dapatan kajian juga menunjukkan bahawa ciri-ciri EO usahawan PKS secara positif menerima implementasi teknologi proses baharu seperti pemikiran terbuka, pengetahuan, berwawasan tinggi dan kreativiti. Kajian ini juga menyumbang kepada pengetahuan baharu mengenai pemahaman tentang pelaksanaan proses inovasi oleh usahawan PKS di samping berjaya merangka pembangunan kerangka model komprehensif teknologi proses inovasi dalam konteks PKS sektor pembuatan. Hasil penemuan kajian ini diharapkan memberikan sumbangan signifikan kepada pihak berwajib seperti agensi-agensi kerajaan, pihak industri dan institusi penyelidikan. Akhir sekali, kajian di masa hadapan harus menggunakan pendekatan kajian ini dalam konteks industri, geografi dan sampel yang berbeza untuk memperoleh dan menghasilkan dapatan kajian yang unik dan menarik bagi membantu mengukuhkan pemahaman tentang fenomena kajian.