Penjagaan bangunan warisan perlu mengikut piawaian yang telah ditetapkan agar keaslian bangunan tersebut dapat dikekalkan dan mengelakkan berlakunya kerosakan pada masa akan datang. Terdapat beberapa kajian yang telah dijalankan menyatakan tumbuhan merupakan salah satu ancaman kepada bangunan warisan. Namun garis panduan yang ada kini masih kurang menyentuh berkaitan tumbuhan yang menyokong pemeliharaan bangunan warisan. Tidak dapat disangkal lagi kajian berkaitan ciri-ciri tumbuhan merupakan perkara asas dalam pemilihan tumbuhan yang sesuai kerana melalui ciri-ciri tersebut dapat mengelakkan kerosakkan bangunan warisan berlaku. Oleh itu, tujuan kajian ini dijalankan adalah untuk mengenal pasti ciri-ciri tumbuhan pengancam bangunan warisan bagi memelihara bangunan warisan di Malaysia. Hasil dapatan kajian ini pula akan digunakan untuk membangunkan Garis Panduan Pemilihan Tumbuhan Landskap bagi Pemeliharaan Bangunan Warisan di Malaysia. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan pendekatan kualitatif dengan kaedah kajian fenomenologi terhadap tumbuh-tumbuhan yang terdapat di sekitar bangunan warisan. Kajian fenomenologi merupakan satu kajian bersifat subjektif yang melibatkan pengumpulan sejumlah data yang besar dalam mengkaji sikap, makna dan persepsi individu. Kaedah ini melibatkan kaedah pemerhatian dan temu bual secara mendalam bagi mengumpulkan data. Kaedah pemerhatian digunakan untuk melihat jenis tumbuhan yang ditanam, kerosakkan struktur bangunan dan ciri-ciri tumbuhan di 112 buah bangunan warisan jenis batu-bata. Manakala sesi temu bual dilakukan bersama lapan (8) orang konservator berdaftar yang berpengalaman luas serta bergiat secara aktif dalam projek-projek konservasi bangunan. Oleh itu, sejumlah 338 spesis, 80 keluarga dan sembilan (9) fungsi dan peranan tumbuhan telah dikenal pasti ditanam atau tumbuh secara semula jadi di persekitaran bangunan warisan. Manakala sembilan (9) jenis kerosakan bangunan dan lapan (8) ciri tumbuhan perosak dan pengancam bangunan warisan juga turut dikenal pasti. Dapatan tersebut dianalisis dengan membandingkan jenis kerosakkan bangunan dan ciri-ciri tumbuhan pengancam dan perosak bangunan bagi membangunkan cadangan Garis Panduan Pemilihan Tumbuhan Landskap bagi Pemeliharaan Bangunan Warisan di Malaysia. Penghasilan garis panduan ini diharap dapat membantu individu yang terlibat dalam mengendalikan pemilihan tumbuhan yang sesuai ditanam di persekitaran bangunan warisan di samping dapat mengisi kelompongan garis panduan pemeliharaan bangunan warisan yang telah sedia ada di Malaysia.