Citation
Arham Abdullah (2026) Lentera Hikmah Naib Canselor #57: UMK30: Teras 7 – Suasana persekitaran yang kondusif dengan peningkatan kualiti infrastruktur, pendigitalan dan kesejahteraan hidup warga universiti (bahagian 1). [Corporate Memory] |
Abstract
UMK30: TERAS 7 – SUASANA PERSEKITARAN YANG KONDUSIF DENGAN PENINGKATAN KUALITI INFRASTRUKTUR, PENDIGITALAN DAN KESEJAHTERAAN HIDUP WARGA UNIVERSITI (Bahagian 1) Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Salam UMK4U, 1 Hati 1 Jiwa. Pada minggu ini dan minggu hadapan, saya ingin berkongsi mengenai Teras 7 dalam UMK30, iaitu usaha mewujudkan suasana persekitaran yang kondusif melalui peningkatan kualiti infrastruktur, pendigitalan serta kesejahteraan hidup warga universiti. Teras ini merangkumi enam Petunjuk Prestasi Utama (KPI 21 hingga KPI 26) yang digerakkan oleh tiga peneraju utama, iaitu Pusat Pembangunan dan Pengurusan Infrastruktur (3PI), Pusat Transformasi Digital (DiTEC) dan Pusat Komunikasi Korporat (PKK). Secara khususnya, KPI 21 dan KPI 24 dipacu oleh 3PI dengan penekanan terhadap kesiapsiagaan infrastruktur serta kesejahteraan fizikal kampus. KPI 22 dan KPI 23 pula diterajui oleh DiTEC bagi memperkukuh infostruktur digital serta mempercepat transformasi perpustakaan secara pintar dan bersepadu. Manakala peranan PKK dalam menerajui KPI 25 dan KPI 26 akan dihuraikan dengan lebih lanjut pada minggu hadapan. Dalam konteks pembangunan universiti, tumpuan lazimnya diberikan kepada pencapaian akademik dan keterlihatan luaran. Namun demikian, cabaran sebenar sering tertumpu pada aspek operasi dalaman yang kurang kelihatan. Infrastruktur memerlukan penyelenggaraan berterusan dalam keadaan sumber yang terhad, manakala sistem sedia ada masih belum bersepadu dan sebahagiannya beroperasi secara silo. Pada masa yang sama, keperluan untuk memperkukuh ekosistem digital semakin mendesak. Selain itu, kesejahteraan warga kampus turut meliputi tekanan kerja, keseimbangan kehidupan dan kualiti persekitaran turut memberi kesan langsung terhadap produktiviti serta prestasi organisasi. Teras 7 dirangka dengan memberi penekanan kepada tiga komponen utama, iaitu infrastruktur fizikal, infostruktur digital dan kesejahteraan insan sebagai asas pengukuhan ekosistem universiti secara menyeluruh. Teras ini secara langsung menyokong Lonjakan 6 dan Lonjakan 10 RPTM melalui pemantapan tadbir urus yang tangkas, penggunaan data secara strategik serta pendigitalan bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan. Pada masa yang sama, pelaksanaan elemen kampus hijau dan kelestarian turut melengkapi usaha ini sejajar dengan Lonjakan 9 ke arah pembangunan persekitaran yang lebih seimbang dan mampan. Di bawah Objektif Strategi 13 (OS13), pendekatan yang diambil melangkaui aspek pembinaan atau penaiktarafan kemudahan semata-mata, sebaliknya memberi tumpuan kepada impak terhadap kecekapan operasi universiti. Keutamaan diberikan kepada kesiapsiagaan fasiliti, kecekapan tenaga, keselamatan digital serta pembangunan Ekosistem Data Bersepadu. Di samping itu, usaha memperkasa kandungan digital termasuk koleksi Kelantanologi dan sumber akademik fakulti turut dipergiat bagi memperluas akses serta meningkatkan nilai ilmu. Sasaran bagi KPI 21, KPI 22 dan KPI 23 ditetapkan secara realistik berasaskan keupayaan semasa, dengan permulaan 20% pada tahun 2026 sebagai asas untuk memperkukuh penyelarasan infrastruktur, integrasi sistem yang masih belum menyeluruh serta penetapan standard operasi yang lebih jelas, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada proses manual. Keyakinan ini disandarkan kepada pendekatan pelaksanaan secara berfasa, dengan peningkatan sasaran kepada 40%, 60% dan 80% yang mengambil kira realiti pembangunan sistem, keperluan penyelarasan antara platform serta perubahan budaya kerja warga universiti yang memerlukan tempoh penyesuaian. Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap intervensi dilaksanakan secara stabil, berfungsi dengan berkesan dan dapat dimanfaatkan secara menyeluruh. Melalui langkah yang tersusun ini, universiti mensasarkan tahap kematangan sistem dapat dicapai menjelang tahun 2030, dengan infrastruktur dan infostruktur beroperasi secara bersepadu bagi menyokong kecekapan operasi serta penyampaian perkhidmatan yang optimum. Bagi KPI 23 yang melibatkan transformasi digital perpustakaan, pendekatan berperingkat dilaksanakan dengan menetapkan sasaran awal pada 10%, 25% dan 45%. Pendekatan ini bersesuaian memandangkan proses pendigitalan bukan sahaja melibatkan teknologi, malah merangkumi aspek pengurusan kandungan, pematuhan serta kesiapsiagaan sistem. Fasa awal ini dilihat sebagai tempoh membina asas yang kukuh sebelum pelaksanaan diperluas ke peringkat seterusnya secara lebih tersusun dan berkeyakinan. Sehubungan dengan itu, peningkatan kepada 75% dan 85% dijangka dapat dicapai dengan lebih lancar apabila sistem semakin stabil dan skala pelaksanaan diperluas secara berkesan. Pada minggu hadapan, saya akan mengupas aspek kesejahteraan warga universiti serta peranan komunikasi strategik dalam memperkukuh keupayaan organisasi secara menyeluruh. Sekian, terima kasih. Ikhlas, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 29 March 2026 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/17685 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
