Citation
Arham Abdullah (2026) Lentera Hikmah Naib Canselor #56: (Edisi Raya) Aidilfitri menghidupkan nilai kemaafan dan kebersamaan. [Corporate Memory] |
Abstract
(Edisi Raya) Aidilfitri menghidupkan nilai kemaafan dan kebersamaan Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam UMK4U, 1 Hati 1 Jiwa. Setelah sebulan kita ditarbiah dalam madrasah Ramadan, marilah kita terus memelihara amalan-amalan baik yang telah dibina sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini. Usah dibiarkan ia berlalu begitu sahaja, sebaliknya diperkukuh dan diistiqamahkan dalam kehidupan seharian. Apabila amalan tersebut menjadi sebahagian daripada rutin hidup kita sehingga terasa kekurangan dan kegelisahan apabila ditinggalkan, itulah tanda bahawa tarbiah Ramadan telah benar-benar meresap dan membentuk peribadi kita. Dalam kegembiraan menyambut Syawal, saya ingin mengajak seluruh warga kampus agar terus mengamalkan sikap bersederhana, khususnya dalam perbelanjaan. Kesederhanaan dalam kehidupan berkeluarga mendidik kita untuk lebih menghargai, mengelakkan pembaziran serta sentiasa bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan. Nilai ini juga amat penting dalam kita memikul amanah di tempat kerja, agar setiap sumber diurus secara berhemah dan dimanfaatkan sebaiknya demi Hari Raya merupakan waktu terbaik untuk kita kembali kepada keluarga, memohon maaf, memperbaiki hubungan serta mengeratkan silaturrahim. Dalam kesibukan melaksanakan tanggungjawab harian, mungkin ada kekhilafan yang terlepas pandang dan hati yang terguris tanpa disedari. Justeru, Syawal membuka ruang untuk kita merendahkan ego, mendahulukan kemaafan dan membina semula hubungan dengan lebih baik. Dalam masa yang sama, kita juga tidak boleh menafikan realiti dunia hari ini. Konflik yang berlarutan di Timur Tengah mengingatkan kita bahawa tidak semua berpeluang menyambut Syawal dalam suasana aman dan sempurna. Ada yang kehilangan insan tersayang, terpisah daripada keluarga, malah hidup dalam ketakutan. Keadaan ini wajar menimbulkan rasa insaf dan syukur dalam diri kita bahawa kebersamaan yang dinikmati hari ini adalah satu nikmat yang amat besar. Pada kesempatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga UMK atas komitmen dan pengorbanan yang dicurahkan. Di sebalik setiap usaha dan pencapaian, terdapat sokongan keluarga yang menjadi sumber kekuatan kita. Hargailah mereka yang sentiasa bersama kita, kerana ketenangan di rumah sering menjadi asas kepada kecemerlangan di tempat kerja. Akhir kata, marilah kita menjadikan Syawal ini sebagai titik kesedaran untuk terus memperbaiki diri supaya menjadi insan yang lebih insaf, menghargai dan bertanggungjawab dalam setiap peranan yang dipikul, sama ada sebagai ahli keluarga mahupun warga universiti. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin. Semoga kita terus melangkah dengan hati yang bersih, jiwa yang tenang dan kehidupan yang diberkati. Sekian, terima kasih. Ikhlas, |
Download File / URL
|
Additional Metadata
| Item Type: | Corporate Memory |
|---|---|
| Collection Type: | Naib Canselor |
| Date: | 23 March 2026 |
| Subject Heading: | Communication |
| Subject Heading: | Top management |
| Subject Heading: | Reflections |
| Subject Heading: | Vice Chancellor |
| Institution: | Universiti Malaysia Kelantan |
| URI: | http://discol.umk.edu.my/id/eprint/17681 |
| Statistic Details: | View Download Statistic |
