Bangunan warisan Istana Jahar atau kini dikenali sebagai Muzium Adat Istiadat Diraja yang terletak di Kelantan dikategorikan sebagai warisan ketara. Ia telah diiktiraf sebagai bangunan warisan oleh Jabatan Warisan Negara (JWN) pada tahun 2012. Walaupun bangunan warisan tersebut telah menjalani proses konservasi secara besar-besaran pada tahun 1991 dan berkala, namun tiada pendokumentasian lengkap bagi proses tersebut yang dijalankan terutamanya antara tahun 2015 hingga tahun 2020. Hal ini demikian, kerana kebanyakan kajian lebih memfokuskan kepada budaya dan sejarah Istana Jahar. Oleh itu, kajian ini adalah untuk membincangkan tentang dokumentasi kerja-kerja konservasi dan penyenggaraan bangunan warisan Istana Jahar bagi tahun 2015 hingga 2020. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti jenis struktur bangunan yang telah menjalani proses pemuliharaan terhadap reka bentuk bangunan warisan Istana Jahar, menghurai jenis pendekatan pemuliharaan terhadap keaslian yang telah diaplikasikan pada reka bentuk bangunan warisan dan seterusnya enganalisis teknik pendokumentasian konservasi dan penyenggaraan bangunan warisan kebangsaan Istana Jahar yang diterbitkan pada tahun 2015 hingga 2020. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dan data dianalisis dengan analisis tematik yang melibatkan enam orang informan yang merupakan pakar dalam dokumentasi dan konservasi Istana Jahar, ditemu bual separa struktur dan dokumen-dokumen bagi pengumpulan data. Keputusan daripada hasil kajian yang dijalankan mendapati terdapat beberapa jenis kerosakan iaitu bahagian bumbung, lantai, dinding kayu dan tangga. Jenis pendekatan yang digunakan adalah pengekalan, penyenggaraan dan pencegahan. Manakala pendokumentasian telah digunakan ialah dokumentasi kerja-kerja pemuliharaan melalui laporan bulanan, dokumen secara bertulis dalam bentuk Portable Document Format (PDF) menggunakan bahasa Melayu berserta cakera padat dan menyimpan gambar dalam satu album yang dibukukan. Ini dapat disimpulkan bahawa dengan adanya pendokumentasian kerja konservasi yang lengkap, dapat dijadikan sebagai rujukan dan garis panduan pada masa akan datang. Rujukan ini dapat digunakan dan bermanfaat kepada organisasi, pakar-pakar, pengkaji baharu serta pihak konservator bagi memulihara sesebuah bangunan warisan dengan baik selain dapat mengekalkan nilai keasliannya.