Kajian ini dilaksanakan bertujuan untuk memperlihatkan keberkesanan penerapan didik hibur dalam pantun Melayu menerusi pantun Pak Nazel: Indahnya Pantun Melayu Melayu yang diterbitkan pada tahun 2022. Berdasarkan puisi tradisional ini, memuatkan 208 rangkap pantun empat kerat dan barisnya memiliki tiga patah perkataan dan hanya lima tema sahaja yang dikeluarkan dalam buku pantun tersebut. Dalam konteks ini, penyelidikan ini memilih kaedah kualitatif dan juga kajian kepustakaan menerusi pengumpulan data daripada analisis dokumen iaitu teks Pak Nazel: Indahnya Pantun Melayu. Sehubungan dengan itu, penyelidikan ini akan memperlihatkan pengenalpastian terhadap konsep didik hibur dalam buku pantun Pak Nazel: Indahnya Pantun Melayu, malah membincangkan pengaplikasian konsep didik hibur serta menilai keberkesanan Teori Keindahan Braginsky bagi menyerlahkan Nilai Estetika Pantun dengan menggunakan dua pendekatan sahaja dalam teori ini iaitu pendekatan dalaman dan luaran. Oleh itu, maka jelaslah bahawa penelitian ini dapat menilai pendekatan didik hibur dalam proses pengajaran dan pembelajaran mahupun suasana penyampaian pantun Melayu yang menekankan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan secara terancang.
Kata Kunci: Pantun Melayu, didik hibur, estetika, Teori Keindahan Braginsky