Cerita rakyat merupakan karya sastera yang telah lama wujud sejak zaman dahulu kala. Cerita rakyat telah memperlihatkan banyak sisi positif yang boleh dicontohi oleh masyarakat masa kini. Namun begitu, terdapat unsur tradisi yang diselitkan di dalam penulisan karya sastera tersebut bagi memaparkan warisan budaya masyarakat dahulu yang masih boleh digunakan sehingga hari ini. Hal ini demikian kerana, unsur tradisi dianggap sebagai suatu perkara yang baik jika digunakan dengan cara yang betul dan tidak melanggar hukum syarak. Pengkaji menjalankan kajian terhadap unsur tradisi kerana pengkaji mendapati bahawa tidak ada kajian lepas yang membuat kajian tentang unsur tradisi dalam cerita rakyat yang di pilih. Hal ini menyebabkan pengkaji ingin mengisi kelompongan yang ada bagi memenuhi syarat kajian tersebut. Oleh itu, kajian ini dijalankan bagi tujuan untuk mengenal pasti dan membincangkan unsur tradisi yang terkandung dalam Teks Seuntaian Naratif Lisan Di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan. Kajian ini juga membataskan sebanyak 20 cerita rakyat yang berjudul Kubang Dek, Disorok Jin, Jelmaan Saka Harimau, Pemujaan Pantai, Kehebatan Bomoh Siam, Pemujaan Tok Mekong, Che Deraman, Bidan Tok Haji Esah, Pokok Tanjung Dan Alat Muzik Yang Bisu, Tok Perindu, Simbolik Rebana, Tok Karim Guru Silat Masyhur, Tenggelamnya Masjid Pengkalan Datu, Kisah Sekumpulan Tupai, Tok Guru Haji Awang Ulama Tercipta, Kelawar Suka Keluar Malam, Tentera Bergajah, Kain Sutera Cina, Penubuhan Dua Pentadbiran Di Temasik dan Raja Sakti Pemerintah Berwibawa. Di samping itu, reka bentuk kajian ini bersifat kualitatif iaitu menggunakan kaedah kepustakaan dan kaedah rujukan teks. Selain itu, pengaplikasian teori juga digunakan dalam kajian ini iaitu teori Pengkaedahan Melayu yang digagaskan oleh Hashim Awang (1989) bagi membentuk hujahan atau analisis dan bukti yang kukuh. Walaupun unsur tradisi ini merupakan perbuatan seharian masyarakat yang telah dijalankan sejak dahulu kala lagi tetapi perkara tersebut tetap perlu dititikberatkan agar ia tidak melanggar hukum-hakam Agama Islam yang boleh mengakibatkan masyarakat tersebut terikut dengan ajaran sesat. Maka, unsur tradisi dapat melahirkan masyarakat yang majmuk dari segi budaya dan adat dalam kalangan masyarakat agar budaya dan adat tersebut tetap dipelihara sampai bila-bila.
Kata kunci: Cerita Rakyat, Unsur Tradisi, Teks Seuntaian Naratif Lisan Di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kelantan, 20 Cerita Rakyat, Teori Pengkaedahan Melayu.