Isu sosialisasi gender pada zaman kanak-kanak boleh mendatangkan implikasi negatif sekiranya tidak ditangani sejak awal lagi. Fenomena kecelaruan gender bercanggah dengan nilai Islam, norma, adat dan budaya Melayu. Dalam hal ini peranan ahli keluarga memberi pengaruh yang besar dalam proses sosialisasi gender. Kajian ini menyasarkan tiga objektif utama. Pertama, mensintesis konsep gender dan sosialisasi gender menurut perspektif Islam. Kedua, menganalisis peranan dan ketiga, menilai sikap dan tindakan keluarga dalam sosialisasi gender anak pada zaman kanak-kanak. Metodologi kajian adalah berasaskan pendekatan kualitatif iaitu kajian kepustakaan dan eksplorasi. Data-data kepustakaan diperoleh daripada al-Quran dan Hadis, kitab-kitab ilmuwan Islam dan artikel ilmiah. Manakala data-data eksplorasi diperoleh daripada 14 buah keluarga yang mempunyai anak kecelaruan gender berdasarkan persampelan bertujuan. Data primer dikutip melalui kaedah temu bual dan pemerhatian yang dijalankan dalam beberapa siri bagi mendapatkan data yang tepat dan maksimum. Datadata kepustakaan dianalisis menggunakan kaedah analisis kandungan yang meliputi induktif, deduktif dan sintesis. Manakala data-data kualitatif eksplorasi dianalisis menggunakan kaedah pengekodan dan tematik. Dapatan kajian menunjukkan bahawa Islam mengiktiraf konsep gender berdasarkan acuan konsep fitrah dan tabii. Konsep ini memberi implikasi yang besar kepada pendidikan dalam konteks sosialisasi gender kanak-kanak. Keadaan ini bermakna kerangka baharu diperlukan bagi menggantikan konsep gender yang dibawa oleh Barat yang dijenamakan semula sebagai kejantinaan. Analisis kajian juga mendapati keluarga telah berperanan dan bersikap positif dalam melaksanakan sosialisasi gender terhadap anak semasa kecil. Ironinya, sikap toleransi mereka dalam menangani isu ini menyebabkan proses sosialisasi kejantinaan kurang berkesan. Keadaan menjadi lebih parah apabila terdapat faktor-faktor yang turut mengekang proses sosialisasi kejantinaan iaitu, [1] naluri semula jadi, [2] pengaruh persekitaran; rakan sebaya dan media massa, [3] kurangnya peranan bapa dalam mendidik anak dan [4] menyerahkan pendidikan agama anak kepada pihak lain. Tuntasnya, kajian ini dapat memberi sumbangan dari aspek pengetahuan tentang sosialisasi kejantinaan anak-anak dan menghasilkan panduan yang berlandaskan syariat Islam dan norma budaya Melayu kepada ibu bapa, para pendidik dan pembuat dasar.