Tesis ini ialah satu usaha penyelidikan warisan tentang seni persembahan teater Melayu tradisional Makyung. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dengan menganalisis isi kandungan (content analysis) cerita-cerita pilihan yang disusun dan diselenggarakan oleh Saari Abdullah dalam buku ‘Anak Raja Gondang dan Lain-lain Cerita Makyung’. Cerita pilihan yang menjadi batasan kajian ini ialah ‘Anak Raja Gondang’, ‘Eneng Tejali’, ‘Raja Besar Ho Gading’ dan ‘Dewa Indera Indera Dewa’. Kajian ini berobjektifkan bagi mengenal pasti nilai-nilai kemanusiaan berteraskan empat unsur pemikiran SPB4K dalam cerita-cerita pilihan Makyung, menganalisis dengan membuat perkaitan nilai-nilai kemanusiaan berteraskan empat unsur pemikiran SPB4K dengan kandungan mesej dalam cerita-cerita pilihan Makyung dan menganalisis nilai-nilai kemanusiaan SPB4K yang dominan serta menghasilkan kerangka konsep pemikiran dalam cerita-cerita pilihan Makyung. Teori SPB4K mempunyai empat unsur pemikiran utama. Pertama, Pemikiran Kerohaniaan iaitu pemikiran luhur yang berkaitan dengan unsur-unsur ketuhanan, keagamaan, keimanan, ketaqwaan, kejiwaan, ketauhidan dan keesaan Tuhan. Kedua, Pemikiran Kebitaraan yang merupakan pemikiran yang menjurus kepada pemikiran lahir yang berkaitan dengan perkembangan otak manusia yang membawa kepada kemahiran pemikiran kecemerlangan, kebitaraan, kegemilangan, kebestarian dan kebijaksanaan. Ketiga, Pemikiran Kesaintifikan iaitu pemikiran yang bersifat logik dan saintifik yang membawa kepada kebenaran, kepastian, ketepatan, kesahihan dan kegunaan fakta serta angka manakala keempat, Pemikiran Kekreatifan dan Inovasi bersifat lateral menjurus kepada wacana pemikiran inovatif, kreatif, penghasilan idea baharu, kesenian, keindahan, kecantikan dan kesempurnaan. Kesimpulannya, kempat-empat elemen pemikiran ini adalah berlandaskan nilai-nilai kemanusiaan yang disepadukan untuk melihat kekuatan solider pemikiran Melayu dari perspektif Teori SPB4K yang terkandung dalam ‘Anak Raja Gondang dan Lain-lain Cerita Makyung merupakan seni warisan teater Melayu tradisional.