Kajian ini bertujuan untuk mengetahui faktor keterikatan tempat dalam mempengaruhi penglibatan komuniti di Bukit Jugra, Selangor. Bukit Jugra memiliki aset warisan sejarah dan juga alam semula jadi yang mana ianya terdiri daripada tapak arkeologi, monumen, bangunan warisan dan alam semula jadi fizikal yang berbukit bukau. Bagi pengemar yang meminati sejarah dan juga aktiviti lasak akan terpanggil untuk datang ke Bukit Jugra, Selangor. Namun begitu, terdapat beberapa aspek yang perlu diambil kira dalam mengangkat Bukit Jugra ini sebagai pusat pelancongan seperti faktor keterikatan tempat. Keterikan tempat mementingkan unsur-unsur instrinsik di dalam diri manusia terhadap aspek fizikal sesuatu tempat dan aktiviti sosial yang dilakukan disitu yang mempunyai makna seterusnya dapat membentuk identity terhadap Bukit Jugra. Oleh itu, kajian ini tertumpu kepada aspek fizikal, sosial dan sejarah Bukit Juga dalam mempengaruhi penglibatan komuniti dan juga cabarannya. Kajian ini menggunakan kaedah campuran iaitu kualitatif dan kuantitatif. Kaedah kualitatif melibatkan temu bual dan pemerhatian di lokasi kajian manakala kaedah kuantitatif pula melibatkan penggunaan borang soal selidik. Penetuan sampel adalah menggunakan jadual Krejcie Morgan. Hasil kajian menunjukkan bahawa Bukit Jugra, Selangor berpotensi sebagai pusat pelancongan lestari sekiranya aspek keterikatan tempat ini dititikberatkan dalam pembangunan pelancongan.