Masjid Lama Bandar Taiping yang terletak di tengah bandar Taiping telah dibina pada tahun 1893. Masjid ini pada asalnya sebuah madrasah yang dibina semula dijadikan masjid pertama yang menggunakan batu. Kajian yang dilaksanakan pada masjid ini bertujuan untuk mengetahui pengekalan ‘Character Defining Element’ di Masjid Lama Bandar Taiping dimana CDE ini merupakan ciri utama dalam pengekalan nilai warisan. Penentuan watak itu sendiri merujuk kepada semua aspek visual dan ciri fizikal yang merangkumi rupa setiap bangunan bersejarah. Pemuliharaan dari aspek CDE adalah untuk mengekalkan nilai warisan daripada hilang dan tidak bernilai. Terdapat beberapa pemasalahan yang wujud semasa kajian ini dilakukan. Antaranya ialah kurang penjelasan mengenai latar belakang Masjid Lama Bandar Taiping serta kajian terhadap CDE tidak banyak diketengahkan lagi di Malaysia. Jadi satu kajian khusus terhadap CDE dijalankan. Seterusnya, kurang kajian mengenai pemuliharaan berdasarkan CDE terhadap Masjid Lama Bandar Taiping disebabkan oleh kurang pendedahan dari pihak bertanggungjawab. Metodologi kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah kaedah kualitatif bagi mendapatkan segala data dan maklumat yang sah dan benar. Oleh itu, kajian yang dilakukan adalah untuk membantu dan menjadi panduan terhadap tahap pengekalan ‘Character Defining Element’ Masjid Lama Bandar Taiping agar dapat mengangkat martabat bangunan warisan supaya dapat dikekalkan dan dapat diketahui sejarah dan seni bina yang dimiliki.