Digital Special Collection Portal

Pembangunan kandungan bahan bahasa Arab dalam talian untuk pembelajaran teradun di Universiti Malaysia Kelantan.


Citation

Ahmad Zaki Amiruddin (2022) Pembangunan kandungan bahan bahasa Arab dalam talian untuk pembelajaran teradun di Universiti Malaysia Kelantan. Doctoral thesis, Universiti Sultan Zainal Abidin.

Abstract

Fokus agenda Pengajian Tinggi Malaysia (MyHE4.0) kepada cara penyampaian dan pembangunan kurikulum telah mencetuskan mod pembelajaran teradun, iaitu gabungan pembelajaran secara bersemuka dan secara dalam talian. Mod pembelajaran ini semakin rancak dilaksanakan apabila pembelajaran secara bersemuka tidak lagi menjadi kecenderungan pelajar generasi Z (Gen-Z) pada masa kini. Malahan, pembelajaran secara dalam talian sepenuhnya turut menimbulkan pelbagai isu, seperti wujudnya jurang perbezaan kemahiran kendiri dalam kalangan pelajar dan juga kurangnya interaksi dua hala antara pelajar dan pengajar. Justeru, kajian ini bertujuan membangunkan kandungan bahan bahasa Arab tahap asas dalam talian mengikut kriteria ketetapan pembelajaran teradun, iaitu sekurang-kurangnya satu (1) maklumat kursus, tujuh (7) bahan, tiga (3) aktiviti dan dua (2) pentaksiran kursus. Kandungan bahan dalam talian meliputi bahan, aktiviti dan pentaksiran kursus bahasa Arab tahap 1 di Universiti Malaysia Kelantan bagi satu semester penuh, iaitu selama 14 minggu, dengan penerapan elemen interaktif dan multimedia. Kajian ini menggunakan pendekatan Kajian Reka Bentuk dan Pembangunan melalui empat fasa utama, iaitu fasa analisis, fasa reka bentuk, fasa pembangunan, dan fasa pelaksanaan dan penilaian dengan penerapan teori pembelajaran dalam proses pembangunan. Tatacara pengumpulan dan analisis data adalah berbeza-beza di setiap fasa. Fasa analisis menggunakan kaedah tinjauan melalui soal selidik bagi mengenal pasti pengalaman, kesediaan dan keperluan pengguna dalam kalangan pelajar. Fasa reka bentuk pula menggunakan model reka bentuk ASSURE dengan kaedah analisis dokumen bagi proses penyediaan bahan secara digital, manakala fasa pembangunan menggunakan model kesahan kandungan bagi mendapatkan kesahan pakar setelah kandungan bahan dimuat naik ke dalam talian. Bagi fasa akhir, iaitu fasa pelaksanaan dan penilaian, model The Technology, Usability, Pedagogy (TUP) digunakan untuk penilaian kebolehgunaan melalui soal selidik dan temu bual ringkas setelah pelaksanaan dalam suasana pembelajaran sebenar. Data kuantitatif bagi analisis keperluan dan penilaian kebolehgunaan mengikut tema dianalisis secara deskriptif bagi mendapatkan skor min dan peratus. Manakala nilai Indeks Kesahan Kandungan (CVI) mengikut domain digunakan dalam analisis data kesahan kandungan. Di samping itu, data kualitatif temu bual ringkas yang menyokong dapatan penilaian kebolehgunaan diperoleh melalui transkripsi dan analisis teks secara deskriptif dan interpretasi. Dapatan fasa analisis menunjukkan tahap keperluan tinggi dalam kalangan pelajar terhadap pembangunan kandungan bahan kursus secara sistematik. Dapatan fasa reka bentuk dan pembangunan pula menunjukkan proses pembangunan telah dilaksanakan secara teliti berpandukan kesahan pakar ke atas kandungan dalam talian. Dapatan fasa pelaksanaan dan penilaian pula menunjukkan penilaian kebolehgunaan TUP dalam kalangan pelajar setelah pelaksanaan dalam suasana pembelajaran berada pada tahap yang tinggi. Kajian ini sangat sesuai dijadikan panduan kepada pembangunan kandungan bahan dalam talian untuk pembelajaran teradun bagi kursus-kursus bahasa-bahasa asing lain secara teoretikal dan praktikal khususnya di institusi pengajian tinggi.

Download File / URL

[thumbnail of AHMAD ZAKI BIN AMIRUDDIN.pdf] Text
AHMAD ZAKI BIN AMIRUDDIN.pdf - Submitted Version
Restricted to Registered users only

Download (17MB)

Additional Metadata

Item Type: UMK Etheses
Collection Type: Thesis
Date: 2022
Subject Heading: Blended learning
Subject Heading: Arabic language - Study and teaching
Number of Pages: 240
Call Number: LB1028.5 .A36 2022 tes
Supervisor: Prof. Madya Dr. Zulazhan Ab. Halim
Programme: Doctor of Philosophy
Institution: Universiti Sultan Zainal Abidin
Faculty/Centre/Office: Faculty of Language Studies and Human Development
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/10784
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2