Industri pelancongan adalah salah satu penyumbang penting kepada ekonomi dan sumber utama pendapatan melalui pertukaran wang asing di negara ini. Industri ini bukan sahaja memberi kesan positif terhadap ekonomi, tetapi juga menyumbang kepada pencemaran alam sekitar, impak negatif sosial dan budaya serta kemusnahan habitat. Oleh itu, industri pelancongan perlu memberi penekanan kepada pengurusan lestari serta permintaan terhadap pelancongan bertanggungjawab dari segi sosial, alam sekitar dan ekonomi. Sebagai konsep baru, pelancongan bertanggungjawab dapat meningkatkan usaha pembangunan pelancongan yang lestari dan seterusnya dapat meningkatkan kualiti hidup masyarakat, imej dan daya saing destinasi pelancongan. Objektif kajian ini adalah untuk mengkaji kesan kelestarian destinasi sebagai pengantara di antara hubungan pelancongan bertanggungjawab dan kualiti hidup masyarakat tempatan di Cameron Highlands. Kajian deskriptif dan reka bentuk keratan rentas telah digunakan untuk kajian ini. Dalam menyiapkan kajian, 400 soal selidik telah diedarkan di tiga (3) mukim di Tanah Tinggi Cameron, iaitu Ulu Telum, Tanah Rata, dan Ringlet. Data dianalisis dengan menggunakan Pakej Statistik untuk Sains Sosial (SPSS) versi 23 untuk ujian deskriptif dan statistik inferensi seperti min, kekerapan, ujian-t, ANOVA, korelasi Pearson dan regresi dalam menjawab persoalan kajian. Hasil analisis inferensi seperti ujian-t dan ANOVA menunjukkan bahawa jantina, umur, status perkahwinan, bangsa, dan tahap pendidikan tidak memberikan perbezaan terhadap kualiti hidup. Namun, tempoh menetap di Cameron Highlands mempunyai kesan terhadap kualiti hidup. Berdasarkan ujian korelasi, kajian menunjukkan bahawa pelancongan bertanggungjawab tidak mempunyai hubungan dengan kualiti hidup. Tetapi, terdapat hubungan yang signifikan di antara pelancongan bertanggungjawab dan kelestarian destinasi. Selain itu, kelestarian destinasi juga bertindak sebagai pengantara hubungan di antara pelancongan bertanggungjawab dan kualiti hidup masyarakat setempat. Kajian menunjukkan bahawa kelestarian destinasi adalah fungsi positif kualiti hidup dalam kalangan masyarakat setempat. Oleh itu, kelestarian destinasi diperlukan untuk memberi lebih perhatian kepada kesedaran alam sekitar, kehidupan lestari dan kesejahteraan masyarakat. Hasil penyelidikan dapat membantu pemegang taruh industri pelancongan untuk melaksanakan strategi pembangunan pelancongan berdasarkan sikap dan kualiti hidup masyarakat setempat kerana komuniti adalah sebahagian daripada pengalaman pelancongan.