Digital Special Collection Portal

Tuan Guru Haji Che Mad, Pasir Pekan Hilir (1880an – 1973)


Citation

Ustaz Mohd Noor Tuan Guru Haji Che Mad, Pasir Pekan Hilir (1880an – 1973). [Image]

Abstract

Nama sebenar Tuan Guru Haji Che Mad ialah Haji Che Ahmad Bin Haji Taib Bin Haji Abdullah Bin Haji Jaafar. Hasil perkahwinan ayahnya, Haji Taib Bin Haji Abdullah bersama ibunya, Hajah Maimunah, mereka dikurniakan 4 orang anak, iaitu :

1. Hajah Che Habibah
2. Haji Ibrahim
3. Haji Uthman
4. Tuan Guru Haji Che Mat

Beliau dilahirkan di Kampung Bailasoh, Pasir Pekan Hilir, Tumpat, Kelantan sekitar tahun 1880an.

Pendidikan agama Tuan Guru Haji Che Mad peringkat permulaan dikesan bermula dengan ulama-ulama yang tinggal berhampiran dengan Sungai Kelantan. Antara mereka yang dapat dikesan menjadi guru awal kepada beliau ialah :

1. Tuan Guru Haji Abdul Malik Sungai Pinang
2. Tuan Guru Haji Omar Sungai Keladi
3. Tuan Guru Haji Nik Wan Abdullah

Hal ini berlaku kerana tempat mengajar ulama-ulama ini berada tidak jauh dari kampung kelahiran Tuan Guru Haji Che Mad iaitu di Kampung Bailasoh yang juga terletak tidak jauh dari Sungai Kelantan. Dengan ulama-ulama termuka negeri Kelantan inilah Tuan Guru Haji Che Mad mula menimba ilmu agama sebelum melanjutkan pengajiannya ke Mekah.

Berdasarkan maklumat-maklumat tentang sejarah hidup berapa orang ulama Kelantan, kemungkinan besar juga Tuan Guru Haji Che Mad sempat berguru dengan Tuan Guru Haji Daud Kampung Menuang. Tahun tahun pengajian Tuan Guru Haji Che Mad dengan guru-guru ini dianggarkan berlaku pada sekitar tahun 1890 an sehingga tahun 1905 apabila beliau pun belayar ke Mekah.

Di Mekah, beliau berguru dengan ramai ulama Melayu yang menjadi tokoh pendidik di Masjidil Haram, seperti :

1. Syeikh Nik Mat Kechik al-Fathani
2. Syeikh Wan Ali Kutan al-al-Kalantani
3. Syeikh Wan Ahmad al-Fathani
4. Syeikh Mukhtar Attarid Bogor
5. Tok Saroji
6. Cher Pak Ya Ramani
7. Pak Cik Daud al-Fathani

Selain ulama-ulama Mekah, beliau juga berguru dengan tuan-tuan guru yang berasal dari Kelantan yang diberi keizinan mengajar di Masjidil Haram dan seumpamanya seperti :

1. Tok Kenali
2. Tok Kemuning Muda
3. Tok Jerulong
4. Tuan Guru Pak Chik Musa al-Kalantani

Selepas pulang dari Mekah sekitar tahun 1913 - 1914, Tuan Guru Haji Che Mad membuka sebuah bailasoh di kampung kelahiran beliau iaitu di Kampung Bailasoh di atas sebidang tanah yang diberikan oleh Pak Muda iaitu sepupu beliau.

Pondok ini didirikan oleh beliau secara bergotong-royong dengan penduduk kampung. Bermula di pondok inilah Tuan Guru Haji Che Mad mula memberikan ilmu-ilmu agama kepada penduduk kampung tersebut seperti pengajian pada malam Jumaat. Antara kitab yang diajar oleh beliau kepada penduduk kampung ini ialah kitab Muniyatul Musolli.

Di sini masyarakat mula datang menimba ilmu agama daripada beliau antara yang dapat disebutkan di sini ialah Pak Ngah Daud Tendong yang akhirnya menjadi besan beliau dan seorang lagi yang turut belajar dengan beliau ialah Pak Cik Weil @ Ismail dari Kampung Padang Embun.

Tak lama selepas membuka pondok di Kampung Bailasoh beliau berpindah sebelum berlakunya peristiwa Banjir Besar tahun 1926 ke Kampung Pasir Pekan Hilir, Tumpat, Kelantan. Di sini beliau mendirikan sebuah rumah untuk didiami bersama-sama dengan isteri dan anak-anaknya. Selepas itu beliau mendirikan pula sebuah surau untuk mengajar ilmu-ilmu agama kepada masyarakat setempat. Tidak lama selepas itu pondok-pondok kecil mula didirikan sekitar suraunya oleh pelajar-pelajar yang datang dari jauh bagi menuntut ilmu daripada beliau. Antara individu yang sempat dikesan berguru dengan beliau ialah :

1. Tuan Guru Haji Wan Adam Pasir Pekan pengasas Madrasah al-Falahiah, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan
2. Haji Abdul Rahman - anaknya
3. Haji Che Yahya Bin Haji Che Uthman - anak saudaranya
4. Awang - Menantu beliau
5. Wan Daud Bin Wan Qadir, Kampung Kutan
6. Haji Said, Selangor
7. Umar, Selangor

Namun pondok Tuan Guru Haji Che Mad tidak bertahan lama apabila berlakunya pendudukan Jepun ke Tanah Melayu pada tahun 1941. Ianya menyebabkan pelajar-pelajarnya terpaksa pulang ke kampung halaman masing-masing. Tahun selepas berakhirnya pendudukan Jepun ini, pondok Tuan Guru Haji Che Mad masih tidak dapat dibuka kepada orang ramai dan keadaan ini berterusan sehingga ke akhir hayat beliau.

Setelah beberapa tahun berada dalam keadaan yang agak uzur, akhirnya pada tanggal 10 Oktober 1973 bersamaan 13 Ramadhan 1393H, Tuan Guru Haji Cik Mad telah dijemput mengadap penciptanya pada 12.35 malam di rumah beliau di Kampung Pasir Pekan Hilir. Jenazahnya dikebumikan di Perkuburan Kampung Pauh Ganja, Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan.

Download File / URL

[thumbnail of Tuan Guru Haji Che Mad.jpg]
Preview
Image
Tuan Guru Haji Che Mad.jpg

Download (100kB) | Preview

Additional Metadata

Item Type: Image
Collection Type: Kelantan
Depositing User: Pn. Wan Nurjuliana Wan Abd Ghafar
Date Deposited: 05 Sep 2022 01:09
Last Modified: 05 Sep 2022 01:09
URI: http://discol.umk.edu.my/id/eprint/10752
Statistic Details: View Download Statistic

Edit Record (Admin Only)

View Item View Item

The Office of Library and Knowledge Management, Universiti Malaysia Kelantan, 16300 Bachok, Kelantan.
Digital Special Collection (UMK Repository) supports OAI 2.0 with a base URL of http://discol.umk.edu.my/cgi/oai2