Krisis ekonomi yang berlaku di peringkat global menyebabkan ahli ekonomi dunia menilai kembali sistem mata wang yang sedia ada. Rentetan itu, banyak perdebatan dalam kalangan para penyelidik dan ahli akademik mengenai keperluan terhadap alternatif kepada sistem monetari yang menawarkan pilihan dan kebebasan ekonomi kepada orang ramai. Justeru, pakar ekonomi berminat untuk mengkaji kembali dasar piawaian emas dan piawaian wang fiat. Tidak dinafikan bahawa minat terhadap dinar dan dirham dalam kalangan masyarakat, ahli akademik, komuniti perniagaan dan bahkan kerajaan telah meningkat sejak akhir-akhir ini. Namun, timbul persoalan tentang bagaimana penerimaan umum dalam kalangan usahawan itu sendiri terhadap dinar dan dirham. Kajian ini bertujuan untuk meninjau secara mendalam berkaitan penggunaan dinar dan dirham dalam kalangan usahawan Islam. Kajian ini dilakukan menerusi metodologi secara kualitatif. Temu bual secara mendalam dan analisis kandungan telah digunakan dalam proses pengumpulan data. Manakala, proses analisis data dilakukan oleh penyelidik menggunakan perisian ATLAS.ti. Hasil kajian mendapati bahawa kesedaran para usahawan masih kurang memberangsangkan dan penerimaan positif dan negatif daripada informan terhadap penggunaan dinar dan dirham. Persepsi yang berbeza daripada setiap usahawan didapati setelah penyelidik melakukan tinjauan terhadap hal ini. Oleh yang demikian, mekanisme penggunaan perlu dikaji secara mendalam untuk memudahkan pengguna menggunakan dinar dan dirham dalam kegiatan harian. Kajian lanjutan dicadangkan ke atas dinar dan dirham dalam kalangan usahawan disarankan untuk penyelidikan di masa hadapan dengan menggunakan kaedah yang berbeza. Akhir sekali, kajian ini merumuskan bahawa penggunaan dinar dan dirham dalam kegiatan ekonomi dapat membantu kestabilan ekonomi yang selari dengan prinsip Maqasid Syariah.