Peranan utama istana selain menjadi pusat pentadbiran adalah menjadi sebuah gedung dan simpanan artifak warisan Melayu berharga yang menjadi perlambangan ketinggian tamadun alam Melayu ketika itu dan boleh diibaratkan sebagai sebuah muzium. Selain itu, bangunan-bangunan warisan ini mempunyai keunikan dan keistimewaan yang tersendiri termasuklah dari segi gaya seni bina. Ketinggian nilai tamadun bangsa ini turut dapat dilihat pada Istana Tengku Long yang didirikan di Besut yang kini dipindahkan ke Muzium Negeri Terengganu. Walau bagaimanapun, amat malang sekali jika masyarakat Besut tidak mengambil peduli dan tidak tahu tentang sejarah kewujudan bangunan warisan sejarah di tempat mereka sendiri. Justeru, objektif kajian ini adalah untuk mendokumentasikan sejarah Istana Tengku Long dan mengkaji tahap kesedaran masyarakat terhadap warisan sejarah tersebut berdasarkan empat tema utama iaitu pengetahuan, keprihatinan, daya penarik dan peranan masyarakat. Selanjutnya, kajian ini juga akan meneliti strategi-strategi yang berkesan untuk menarik minat masyarakat memelihara warisan sejarah negara. Reka bentuk kajian ini adalah melalui pendekatan kualitatif menggunakan instrumen temu bual, kerja lapangan dan pemerhatian. Sampel kajian diambil daripada penduduk Kampung Raja, Besut menerusi kaedah persampelan bertujuan. Data yang diperoleh kemudiannya dianalisis menggunakan perisian atlas.ti. Hasil kajian mendapati masyarakat Besut tidak mengetahui tentang sejarah Istana Tengku Long berdasarkan empat tema utama yang dikaji. Oleh itu, kajian ini mengetengahkan strategi-strategi yang boleh diambil oleh pihak pembuat dasar, jabatan-jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) malah masyarakat setempat agar warisan ini terus terpelihara dan sejarahnya terkenal dan meniti di bibir anak-anak generasi masa hadapan.