Kejadian buli di sekolah mencetus kebimbangan masyarakat. Pelbagai prevensi dan intervensi dilakukan, namun statistik indeks buli menunjukkan gejala buli masih pada tahap membimbangkan. Rawatan penyucian hati yang dijalankan adalah antara rawatan secara Islam dalam membentuk perlakuan positif murid. Kajian ini bertujuan untuk mengukur kesan rawatan penyucian hati terhadap perubahan sikap pembuli dalam kalangan murid sekolah rendah. Reka bentuk kajian adalah kuasi eksperimental ujian prapasca kumpulan-kumpulan tidak seimbang (nonequivalent groups pre-post test design). Kajian awal melibatkan 8 QIT (Quality Improvement Team) merangkumi 94 buah sekolah rendah di Kota Bharu. Seramai 424 murid terlibat dalam kajian awal perlakuan buli bagi mendapatkan lokasi eksperimen. Pemilihan subjek kajian melalui rekod guru disiplin, guru bimbingan seterusnya menggunakan Soal Selidik Tinjauan Umum dan Soal Selidik Skala Tingkah Laku Buli. Berdasarkan analisis Skala Tingkah Laku Buli hanya 23 murid yang menepati ciri-ciri sebagai pembuli. Kajian eksperimen adalah bertujuan mengukur perubahan sikap pembuli berdasarkan rawatan penyucian hati. Tempoh rawatan selama 2 bulan. Pemerhatian rakan sebaya digunakan bagi menyokong dapatan kajian. Instrumen yang digunakan dalam kajian iaitu Soal Selidik Perlakuan Buli, Soal Selidik Tinjauan Umum, Skala Tingkah Laku Buli dan Skala Tingkah Laku Buli (Laporan Pemerhatian Rakan Sebaya). Data dianalisis menggunakan SPSS (Statistical Package for the Social Science) versi 19 menggunakan statistik Ujian-t, ANOVA satu hala, ANCOVA dan Post-Hoc Tukey. Dapatan kajian menunjukkan tidak terdapat kesan rawatan yang signifikan ke atas perubahan sikap pembuli melalui rawatan penyucian hati. Dapatan menunjukkan tidak terdapat kesan terhadap tingkah laku buli (p=0.280), tingkah laku buli lisan (p=0.321), tingkah laku buli fizikal (p=0.259). Berdasarkan laporan pemerhatian rakan sebaya tingkah laku buli (p=0.821), laporan pemerhatian rakan sebaya tingkah laku buli lisan (p=0.690), laporan pemerhatian rakan sebaya tingkah laku buli fizikal (p=0.910). Dapatan analisis ujian–t antara kelompok rawatan melibatkan semua rawatan penyucian hati iaitu solat hajat, zikir, bacaan al-Quran dan doa menunjukkan terdapat kesan terhadap perubahan sikap tingkah laku buli lisan (p=0.030) berbanding hanya melakukan solat hajat (p=0.990). Kajian menunjukkan rawatan penyucian hati terhadap perubahan sikap pembuli adalah bersifat jangka masa panjang, berterusan dan menyeluruh. Dapatan ini juga memberi implikasi terhadap kaedah penyucian hati di sekolah bahawa pendekatan kerohanian perlu integratif, saling melengkapi antara ibu bapa, guru dan masyarakat dalam membentuk akal budi murid tanpa mengabaikan pendidikan nilai berlandaskan tauhid.